fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan hormat TPM Thailand

(Aspek keselamatan sempadan Malaysia-Thailand antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan
selama hampir dua jam tersebut/ Foto Pejabat Perdana Menteri)

PUTRAJAYA, 8 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.

Lawatan khas Prawit ke Malaysia itu diiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Jen Chaichan Changmongkol.

Dalam pertemuan selama hampir dua jam itu, aspek keselamatan sempadan Malaysia-Thailand antara isu yang dibincangkan.

Ini sejurus kejadian letupan bom yang berlaku di landasan kereta api di Songkla, Sabtu lalu.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, Anwar turut meraikan Prawit dan delegasinya dalam satu majlis makan tengah hari sebelum Timbalan Perdana Menteri itu berlepas ke Thailand pada pukul 3 petang ini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana
Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan/ Foto Pejabat Perdana Menteri)

Kunjungan itu merupakan kali kedua Thailand ke Malaysia selepas pandemik COVID-19.

Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lepas bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Anwar pernah memenuhi undangan Prawit pada 24 September lepas ketika beliau ke Thailand.

Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam ASEAN manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

Media Baharu