PUTRAJAYA, 3 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi pimpinan Muhammadiyah, sebuah pertubuhan Islam dari Indonesia yang diketuai oleh Ketua Umumnya, Prof. Dr. Kiyai Haji Haedar Nashir.
Dalam pertemuan itu, pelbagai isu dibincangkan termasuk cabaran umat Islam dalam pendidikan, peradaban serta perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantau ini.
Anwar turut menyentuh beberapa pengalaman silam dengan tokoh lama Muhammadiyah seperti Buya Hamka serta membincangkan konsep MADANI yang diperkenalkan di Festival Istiqlal di Jakarta.
"Kami berbincang mengenai idea MADANI yang telah saya kemukakan peringkat awal di Festival Istiqlal di Jakarta dan bersama pemikir lain dalam mencari perspektif yang lebih tepat berbanding memakai istilah masyarakat sivil (civil society) supaya MADANI dipilih kerana ianya sarat dengan nilai dan maknanya yang tersendiri," kata Anwar menerusi Facebook beliau.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia, malah memperkukuh keyakinan serta usaha bersama dalam membangunkan umat.
"Insya-Allah, saya percaya melalui kerja keras dan kemahuan yang tinggi, Malaysia dan Indonesia boleh berkerja rapat dalam mengisi harapan ini," katanya