KUALA LUMPUR, 3 Mac- Pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) bagi beras, ayam dan telur di Sabah antaranya menambah baik infrastruktur pengairan, saliran selain menggalakkan penggunaan teknologi moden.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata selain itu varieti padi baharu turut diperkenal serta menggalakkan penggunaan benih padi sah daripada semenanjung.
"Secara keseluruhan, kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah kukuh dan berterusan, dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang disasarkan untuk meningkatkan produktiviti, terutamanya padi di negeri tersebut.
"Usaha-usaha ini diharapkan dapat memastikan keterjaminan makanan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti pertanian di Sabah," katanya.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis berkenaan usaha bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) bagi beras, ayam dan juga telur di Sabah; dan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah bagi sebarang inisiatif atau program KPKM.
Pada masa ini, Kadar Sara Diri (SSR) beras Negeri Sabah adalah sebanyak 22.8 peratus. SSR ini menunjukkan 75 peratus keperluan domestik ditampung melalui beras import.