(FOTO BERNAMA)
PUTRAJAYA, 16 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Katherine Tai di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata perbincangan menjurus kepada langkah mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan global.
Pertemuan itu turut menyentuh langkah bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi, membincangkan isu kemudahan perdagangan selain melaksanakan usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.
Lawatan Tai ini merupakan lawatan kerja yang pertama oleh ahli Kabinet Pentadbiran AS ke Malaysia sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun lalu.
Pertemuan antara Anwar dan Tai itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan
Amerika Syarikat (AS), Katherine Tai di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari
ini/ Foto BERNAMA)
Sementara itu, Tai yang dalam lawatan sehari ke Malaysia turut bertemu Zafrul di Menara MITI, Kuala Lumpur petang tadi.
Malaysia dan AS mengesahkan komitmen untuk memperhebatkan kerjasama untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala di pelbagai peringkat hala dan serantau.
MITI memaklumkan, terdapat lebih 600 syarikat AS beroperasi di Malaysia dengan pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik dan tenaga boleh diperbaharui.
Pada tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS meningkat 23.3 peratus kepada RM267.58 bilion berbanding RM216.97 bilion pada tahun sebelumnya.
AS kini merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.
Dalam pertemuan itu juga, Zafrul memuji peranan AS dalam merintis Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF).
Beliau dan Tai bersetuju bahawa pematuhan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) dalam perniagaan adalah cara utama ke hadapan.
Zafrul menekankan peralihan yang adil ke arah menerima ESG dan keperluan untuk menangani cabaran utama pelbagai peringkat pembangunan yang akan memerlukan sokongan dalam pembinaan kapasiti dalam konteks AS sebagai salah satu penyokong utama ESG.
Beliau menyatakan semangat untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang nyata dengan AS sebagai Pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 dan Ekonomi APEC lain dalam meningkatkan inovasi, pendigitalan, keterangkuman dan agenda kelestarian pada tahun 2023.
Sebagai ahli pengasas APEC, Malaysia dan AS mempunyai peranan penting untuk diambil alih mencapai pencapaian APEC, khususnya dalam menyokong merealisasikan Putrajaya Wawasan 2040 dilancarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi APEC pada 2020.