KUALA LUMPUR, 16 Februari - Hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) dapat digunakan melalui tatacara perolehan darurat, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Khamis.
Melalui perolehan yang disebut sebagai 260790-T laporan itu merekodkan baki 108 unit ventilator yang dibekalkan sebuah syarikat itu tidak dapat digunakan kerana tidak sesuai dan tidak selamat digunakan kepada pesakit.
Menurut laporan itu lagi, tiada sebarang dokumen berkaitan urus niaga peroleh ventilator dikemukan kepada Pihak Audit. Pihak Auditi juga tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab syarikat 260790-T sebagai syarikat yang menguruskan perolehan ventilator dan berurusan dengan pengeluar.
"Susulan itu, KKM telah memulangkan hanya 15 daripadanya kepada pengilang, manakala tuntutan kerugian sebanyak RM13.07 juta bagi 93 unit lagi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak terdapat sebarang dokumen perolehan antara syarikat 260790-T dan kementerian," jelas laporan itu.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid terdahulu berkata, hasil laporan audit itu mendapati 93 mesin ventilator di hospital kerajaan didapati tidak memenuhi standard dan tidak berfungsi.
Nik Azman berkata, KKM melalui maklum balas memberitahu mesin itu juga tidak boleh diubah suai kerana dibeli secara 'off the shelf' atau sedia ada.
Malah ventilator itu juga tidak mempunyai jamin selain mesin itu pernah cuba dibaiki oleh pihak kontraktor namun gagal.
Berdasarkan laporan itu lagi, melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Mac 2020 lalu untuk proses perolehan ventilator barisan jemaah menteri bersetuju memberi pengecualian kepada KKM untuk memperoleh 500 unit ventilator tambahan daripada syarikat 260790-T bagi memenuhi keperluan mendesak ketika itu.
Sebanyak RM50 juta dianggarkan bagi perolehan ventilator yang dibuat melalui tatacara perolehan darurat di bawah Pekeliling Perbendaharaan (PB) 3.3 dan Arahan Perbendaharaan 99.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod perolehan KKM, syarikat tersebut hanya dapat membekalkan 136 unit ventilator.
Kos perolehan tersebut berjumlah RM20.1 juta yang kemudian disemak semula menjadi RM24.07 juta pada 1 Sept 2020.