fb fb fb fb fb

PM terima Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati

Datuk Seri Anwar menerima Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati daripada Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin

ALOR SETAR, 30 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai penerima Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ke-82, hari ini.

Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran diadakan di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, pagi tadi.

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin perkenan menganugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.S.K.) yang membawa gelaran Dato' Seri Diraja kepada Datuk Seri Anwar.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menerima Darjah Dato' Seri Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.P.K.) yang membawa gelaran Dato' Seri Pahlawan.

Pada istiadat tersebut, seramai tiga individu menerima Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (D.G.W.K) yang membawa gelaran Dato' Wira iaitu Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri' Muhammad Hafizuddeain Jantan; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Exco Kerajaan Negeri, Mohd Azam Abd Samat antara dua individu yang menerima Darjah Dato' Setia Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S.) yang membawa gelaran Datuk.

Sembilan individu menerima Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) yang membawa gelaran Datuk.

Antaranya, Pengerusi Majlis Guru Pondok (HESA) Kedah, Tuan Guru Abdullah Lebai Samah dan Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan.

Ketua Polis Kedah, CP Dato' Fisol Salleh pula antara empat individu yang menerima Darjah Dato' Setia Pahlawan (D.D.S.P) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, 13 individu menerima Setia Diraja Kedah (S.D.K).

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE