KUALA LUMPUR, 18 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik titah Sultan Selangor berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju pembangunan Kampung Bharu.
Beliau berkata, pandangan itu selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang menekankan keperluan menghargai warisan sejarah sambil merangka pembangunan secara adil dan seimbang.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.
Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan di laman sosial beliau.
Terdahulu, Sultan Selangor menegaskan bahawa Kampung Bharu mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri yang perlu dipelihara dalam setiap pelan pembangunan masa depan.
Kawasan tersebut ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian.
Ia hasil kurniaan nenda baginda iaitu Sultan Selangor Kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Jan 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).