fb fb fb fb fb

Transformasi digital dalam sektor perpustakaan perlu diperkukuh

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Edy Irwan Zulkafli ketika berucap merasmikan Kem Pustakawan Digital Peringkat PNM 2025 di Auditorium Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 September – Transformasi digital dalam sektor perpustakaan perlu diperkukuh selari dengan perkembangan teknologi baharu, jelas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Edy Irwan Zulkafli.

Beliau berkata atas faktor tersebut PNM dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan Kem Pustakawan Digital Peringkat PNM 2025.

Penganjurannya bertujuan memperkasakan pustakawan dengan kemahiran baharu termasuk penggunaan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), chatbot, pengkomputeran awan, big data dan reka bentuk kandungan digital.

“Kem Pustakawan Digital ini sangat relevan dengan usaha Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia untuk melahirkan kepimpinan digital perpustakaan yang cekap, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran dunia maklumat masa kini,” kata beliau ketika berucap merasmikan kem tersebut di Auditorium Perpustakaan Negara, di sini, hari ini.

Dengan tema “Pemacu Perkhidmatan Perpustakaan Digital Seiring Teknologi Terkini”, kem itu berlangsung selama tiga hari dan menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada pustakawan PNM, perpustakaan khusus gunasama serta perpustakaan desa dari seluruh negara.

Antara tujuh modul pengisian utama ialah Bijak Hak Cipta: Panduan Pustakawan Dalam Era Digital, Big Data Dalam Perpustakaan, Membangun dan Mengaplikasikan AI serta Chatbot, selain bengkel pengkomputeran awan dan pendigitalan khazanah warisan negara.

Tambah Edy Irwan, PNM turut merangka enam strategi utama bagi membangunkan ekosistem perpustakaan digital yang inklusif termasuk menaik taraf Library Management System (LMS), MyRepositori, Virtual Counter dan Pusat Pembelajaran Digital Imersif.

Lima hala tuju strategik PNM turut digariskan termasuk merancakkan transformasi digital, memperkukuh peranan sebagai pusat khazanah warisan dan budaya, serta memperhebat promosi budaya membaca.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN