fb fb fb fb fb

PM seru pemimpin agama seluruh dunia bersatu tangani isu kemanusiaan

Foto RTM

PETALING JAYA, 28 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin agama dari seluruh dunia agar bersatu membincangkan isu kemanusiaan, keadilan dan keamanan sejagat, sekali gus menegaskan peranan agama sebagai jambatan persefahaman merentasi perbezaan bangsa dan budaya.

Tegas beliau, dalam keadaan dunia hari ini yang menyaksikan defisit kepercayaan terhadap kepimpinan politik, suara pemimpin agama amat penting untuk mengembalikan nilai moral dan prinsip keadilan dalam masyarakat antarabangsa.

“Kadangkala kita terlalu menekankan perbezaan antara agama. Namun kita sering lupa bahawa semua agama, tanpa terkecuali mesti bersatu sekurang-kuranya untuk mencapat persefahaman dalam menghadapi golongan yang menolak sebarang bentuk kepercayaan dan nilai.

"Oleh itu, saya menyeru agar semua pemimpin agama bangkit bersama mempertahankan makna sebenar kemanusiaan, erti agama yang luhur serta menentang segala kekuatan yang cuba menolak iman dan kepercayaan sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama Kali Kedua di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan peranan penting agama dalam perjuangan menentang penindasan.

“Benar, agama pernah digunakan untuk menjustifikasi penjajahan. Namun jangan dilupa, gerakan anti-kolonialisme juga dipelopori oleh pemimpin agama kerana keyakinan mereka terhadap keamanan, keadilan dan kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan konsep Islam sebagai "rahmatan lil alamin" (rahmat bagi sekalian alam) yang menuntut keseimbangan bukan sahaja dalam hubungan sesama manusia, malah meliputi pemeliharaan alam sekitar.

Jelasnya, prinsip tersebut bukan sekadar toleransi tetapi pemahaman dan penghargaan terhadap perbezaan.

Mengulas cabaran Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa pentadbiran negara sentiasa berpegang kepada prinsip melindungi nyawa, harta, maruah dan kehormatan setiap warga tanpa mengira latar belakang.

“Di Malaysia, kita mempunyai 60 peratus umat Islam serta penganut Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain. Tidak semua boleh dipuaskan, tetapi setiap dasar mesti dibincangkan secara inklusif. Kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama akan merosakkan maruah negara,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan tragedi yang berlaku di Gaza adalah simbol kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

“Setiap hari bayi dibunuh, rumah dibom. Ada suara simpati, tetapi di manakah tindakan? Apakah yang diajar oleh agama kita? Di manakah suara nurani kita? Pemimpin agama mesti lebih berani bersuara,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia sebagai negara majmuk mempunyai tanggungjawab membina jambatan persefahaman, bukan jurang kebencian.

“Kita percaya kepada demokrasi dan kebebasan, tetapi kita menolak sebarang bentuk kebencian terhadap kaum atau agama lain. Hanya dengan dialog, bukan kekerasan, kita mampu mengekalkan keamanan,” katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM