fb fb fb fb fb

RUU Perolehan Kerajaan tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang dibentangkan kerajaan tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana tiada permintaan rasmi dibuat, sekali gus menepis dakwaan yang dibangkitkan pembangkang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat 80B tidak menjadikan kewajipan mutlak untuk kerajaan merujuk semua rang undang-undang ke jawatankuasa, sebaliknya bergantung pada kesesuaian serta keputusan bersama antara pengerusi jawatankuasa dan menteri terlibat.

“Kerajaan membawa Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang telah diluluskan di peringkat bacaan kedua tadi peringkat dasar dan ini membuktikan bahawa hampir keseluruhan semua ahli-ahli parlimen yang terlibat majoritinya telah menyokong Rang Undang-Undang Perolehan.

"Walaupun pindaan ini telah berkuat kuasa, tapi dalam isu Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan tidak timbul masalah itu, kerana seperti yang Tan Sri Yang Di-Pertua sebutkan, petuanya adalah tidak ada permintaan daripada jawatankuasa untuk dirujuk rang undang-undang tersebut ke jawatankuasa", katanya dalam satu Sidang Media Khas di Pusat Media Parlimen.

Tegasnya, tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat hari ini hanyalah taktik politik selepas tewas dalam undian belah bahagi, sedangkan realitinya kerajaan kekal dengan sokongan majoriti kukuh.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 menerusi undi belah bahagian.

RUU yang bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan itu mendapat sokongan daripada 125 ahli parlimen, manakala 63 yang lain tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 lagi tidak hadir.

 

 

ROSLINA BINTI DIN