KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 menerusi undi belah bahagian.
RUU yang bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan itu mendapat sokongan daripada 125 ahli parlimen, manakala 63 yang lain tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 lagi tidak hadir.
Keputusan undian diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. Terdahulu, RUU itu mendapat bantahan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang.
Mewakili gabungan pembangkang, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran), telah membangkitkan bahawa RUU baharu itu sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas terlebih dahulu, sebelum dibentangkan selaras Peraturan 80B Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
Bagaimanapun, menurut Tan Sri Johari jawatankuasa itu perlu menulis kepada kementerian berkaitan yang akan memasukkan apa juga rang undang-undang bagi tujuan tersebut.
"Saya telah pun sebutkan semasa perbincangan awal dahulu bahawa jawatankuasa melalui pengerusi mestilah menulis kepada mana-mana kementerian yang akan memasukkan apa-apa juga rang undang-undang dalam kes ini.
“Selepas saja pembacaan pertama, pihak pembangkang perlu tulis (rujuk ke jawatankuasa), We want that bill to be referred to us, itu yang saya maklumkan dahulu.
“Tapi saya sudah periksa dengan pejabat bahawa tidak ada permohonan untuk jawatankuasa minta ia (RUU) dirujuk kepada kita,” jelasnya.
Terdahulu, ketika menggulung perbahasan RUU itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, RUU dibentangkan itu adalah komitmen kerajaan bagi memastikan setiap sen wang rakyat diurus dengan telus, cekap dan berintegriti.