KAJANG, 28 Ogos - Seramai 626 prospek di seluruh negara dibebaskan secara berlesen selepas terpilih bagi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI 2025.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang, berkata, kesemua prospek terpilih yang memenuhi syarat dibebaskan lebih awal, menerusi program PBSL bersempena Bulan Kemerdekaan ke-68.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kedua kepada mereka untuk kembali ke masyarakat lebih awal, tetapi juga membantu kerajaan mengurangkan kos pengurusan penjara,” katanya selepas Majlis PBSL di Dewan Kelab Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, pelepasan itu bukan bermakna prospek bebas mengulangi kesilapan lalu, sebaliknya mereka akan terus dipantau oleh pegawai penjara yang bertanggungjawab menguruskan proses transisi kembali ke masyarakat.
Beliau turut berkata, kesemua prospek terbabit dilepaskan secara berlesen untuk berada dalam komuniti, sama ada bersama keluarga, majikan atau rumah perantaraan kerajaan.