fb fb fb fb fb

PM seru masyarakat beri tumpuan tingkat mutu pendidikan

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

AMPANG, 10 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh masyarakat agar memberi tumpuan dalam meningkatkan mutu pendidikan menerusi kekuatan nilai dan akhlak yang baik.

Jelasnya dengan berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama.

Tambahnya lagi, tumpuan itu boleh dilakukan menerusi didikan agama, penguasaan bahasa, disiplin ilmu dan matlamat pendidikan itu sendiri.

“Tidak kurang pentingnya maksud dan matlamat pendidikan itu yang ditekankan Menteri Pendidikan sekarang adalah supaya kembali kepada agama.

Yang kita mahu tingkatkan itu adalah manusia dengan keyakinan dengan nilai dan akhlak itu kerana percubaan di banyak negara sangat berhasil memupukkan nilai dalam pendidikan,” katanya ketika berucap selepas menonton pementasan teater “Cikgu Anda” di sini, malam tadi.

Anwar juga mahu penguasaan bahasa kebangsaan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Terdahulu, beliau menyaksikan pementasan teater berjudul “Cikgu Anda” yang diinspirasikan berkaitan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.


(Datuk Seri Anwar bersama para pelakon teater "Cikgu Anda")

“Cikgu Anda” diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar pada Mac 1971.

Ia juga bertujuan menceritakan perjuangan yayasan berkenaan yang membantu keciciran pelajar terutamanya pelajar luar bandar serta kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi.

Naskhah teater itu merupakan terbitan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR).

Teater yang berdurasi sejam setengah itu adalah idea asal Pengerusi PAYAAM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim dengan menampilkan barisan pelakon lama dan baharu antaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Abon, Najua P Ramlee, Sarah Fazny dan Eira Sabariah.

“Cikgu Anda” mengetengahkan sekumpulan pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta kurang berkemampuan namun nekad menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di YAA yang antaranya diasaskan oleh Cikgu Anwar yang merupakan tenaga pengajar yayasan itu.




Media Baharu