fb fb fb fb fb

Agrobank sedia dana RM240,000, pupuk pelajar minat bertani

 (Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada
sekolah terpilih di Kota Bharu, Kelantan)

KOTA BHARU, 10 Jun- Agrobank menyumbangkan dana sebanyak RM240,000 kepada 80 buah sekolah di seluruh Malaysia menerusi Program Rakan Tani Muda Agrobank sebagai usaha memupuk minat pelajar untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, program yang dilancarkan pada Mac itu merupakan inisiatif Agrobank dalam membangunkan pendidikan berteraskan pertanian bagi membina keupayaan dan kestabilan sektor pertanian di masa hadapan bersesuaian dengan elemen kelestarian.

"Setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM3,000 dalam menyokong usaha Rakan Tani Muda Agrobank ini.

"Sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025, Agrobank terpanggil untuk mempersiapkan generasi muda sebagai pelapis mendepani cabaran industri agro dan pemangkin keterjaminan makanan khususnya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mei lalu, Agrobank telah menyampaikan serahan sumbangan dana kepada 15 buah sekolah terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Usaha murni ini diharap dapat membina masa hadapan lebih cerah bagi sektor pertanian dan juga memupuk minat pelajar dalam bidang pertanian, seterusnya mengembangkan potensi
mereka," katanya.

Tambah beliau, Agrobank juga dalam perancangan untuk menambah peruntukan dana kepada RM300,000 membabitkan 100 buah sekolah di seluruh negara berikutan pihaknya menerima sambutan menggalakkan daripada sekolah bagi memulakan aktiviti pendidikan tani melalui kelab kurikulum.

Sementara itu, 11 buah sekolah di sekitar Kelantan dan Terengganu menerima dana berkenaan dalam Majlis Penyerahan Simbolik Dana yang diadakan di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat kepada pelajar asnaf seramai 50 orang dari Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, di sini.

(Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin)

Media Baharu