KUALA LUMPUR, 27 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata serta-merta Kemboja dan Thailand yang berkuat kuasa pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Beliau menerusi hantaran Facebook menyifatkan keputusan itu untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan kesedaran bersama bahawa sikap menahan diri amat diperlukan, khususnya demi kepentingan orang awam.
"Saya mengalu-alukan gencatan senjata yang dipersetujui oleh Kemboja dan Thailand, yang berkuat kuasa pada pukul 12.00 tengah hari," menurut hantaran itu.
Kenyataan Bersama itu menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
"Langkah-langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan, dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen," tambah kenyataan itu.
Meskipun akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada 1 Januari 2026, Malaysia akan terus menyokong segala usaha bagi memastikan komitmen tersebut dipatuhi serta mengekalkan prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman.