KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan dan Tadbir Urus daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam Majlis Konvokesyen Khas yang diadakan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), UIAM hari ini.
Tunku Azizah dalam titahnya menzahirkan penghargaan kepada Muhammad Shehbaz yang menunjukkan bahawa kepimpinan sejati bukanlah soal kuasa, tetapi membina kehidupan dan memperkasa komuniti melalui pendidikan, penjagaan kesihatan serta peluang.
Baginda bertitah, insiatif beliau seperti ‘Punjab Education Endowment Fund’ telah membuka pintu pendidikan tinggi kepada ribuan pelajar negara yang terbabit untuk menjejakkan kaki ke universiti.
“Pakistan telah lama menjadi sahabat kepada Malaysia, malah merupakan rakan pengasas UIAM dan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat, ikatan itu semakin kukuh.
“Pada hari ini, para pelajar, ahli akademik dan alumni Pakistan terus memperkayakan universiti ini serta menegakkan misi bersama kita untuk berkhidmat kepada ummah,” titah Baginda.
Turur hadir, Menteri Komunikasi merangkap Menteri pengiring, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Baginda bertitah, penganugerahan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian, tetapi juga satu penghormatan terhadap nilai-nilai yang dijunjung tinggi, keadilan, khidmat dan kecemerlangan berpaksikan keimanan.
Sementara itu, Muhammad Shehbaz berbesar hati menerima penganugerahan tersebut melalui salah satu institusi ilmu paling dihormati di dunia Islam yang telah menjadi pelopor dalam penyepaduan ilmu, keimanan dan etika demi mencapai kecemerlangan.
“Saya berharap kehadiran saya di sini akan memperkukuh lagi hubungan kerjasama akademik dan perkongsian ilmu antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan institusi-institusi pengajian tinggi terkemuka di Pakistan,” katanya.
Terdahulu, ijazah tersebut dikemukakan daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS) UIAM, bersempena dengan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober.