fb fb fb fb fb

Malaysia nafi serah blok minyak atau hidrokarbon kepada Indonesia di Laut Sulawesi

Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kerajaan menegaskan bahawa tiada sebarang penyerahan blok minyak atau kawasan hidrokarbon kepada Indonesia di Laut Sulawesi sebaliknya rundingan persempadanan maritim antara kedua-dua negara masih berjalan secara diplomatik dan aman.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin berkata, dakwaan kononnya Malaysia telah menyerahkan blok karbon atau kawasan tertentu di perairan itu tidak tepat kerana rundingan sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masih belum dimuktamadkan.

"Saya nak tegaskan bahawa tiada penyerahan blok hidrokarbon atau kawasan minyak kepada Indonesia. Rundingan masih berlangsung dan kawasan berkenaan merupakan kawasan tuntutan yang dirundingkan oleh kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas rakaman program Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media hari ini.

Datin Paduka Dr. Adina menjelaskan, Perjanjian Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia sudah pun ditandatangani, namun masih menunggu proses ratifikasi sebelum diumumkan secara terperinci kepada umum.

"Perjanjian itu bukan rahsia, tetapi perlu melalui proses ratifikasi. Ia sebahagian daripada prosedur biasa sebelum diumumkan dengan lebih detail," katanya.

Setakat ini, kedua-dua negara hanya mencapai kesepakatan melibatkan sempadan laut wilayah sejauh 12 batu nautika, manakala rundingan bagi zon ekonomi eksklusif sejauh 200 batu nautika masih diteruskan.

"Apa yang telah dimuktamadkan setakat ini hanyalah sempadan 12 batu nautika laut wilayah. Masih banyak lagi kawasan ke hadapan yang sedang dibincangkan di bawah konvensyen undang-undang laut 1982," jelasnya.

Dakwaan mengenai penyerahan blok hidrokarbon adalah tidak benar kerana proses rundingan masih terbuka dan berpandukan prinsip kedaulatan serta undang-undang antarabangsa.

"Tiada penyerahan kepada Indonesia. Rundingan ini kompleks kerana melibatkan hak kedaulatan dan kepentingan dua negara. Tetapi yang penting, kita berunding dalam suasana aman dan saling hormat," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berhubung 'blok karbon' yang tular di media sosial, Datin Paduka Dr. Adina menjelaskan bahawa istilah seperti Pulau Ambalat atau Teluk Ambalat sering disalahertikan oleh pihak tertentu.

"Sebenarnya tiada pulau atau teluk Ambalat. Ambalat itu berasal daripada istilah Indonesia, 'Ambang Batas Lautan'. Dalam konteks Malaysia, ia tetap dikenali sebagai Laut Sulawesi," katanya.

Malaysia sentiasa mengutamakan rundingan berasaskan diplomasi, keamanan dan kerjasama serantau, termasuk dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam, bagi memastikan kestabilan di kawasan perairan rantau ini.

"Yang penting bagi Malaysia ialah mencapai kesepakatan secara aman. Rundingan maritim ini melibatkan isu kedaulatan dan hak negara, jadi prosesnya mengambil masa panjang," ujarnya sambil menjelaskan bahawa negara lain seperti Rusia dan Norway mengambil masa hingga 40 tahun untuk menyelesaikan sempadan laut.

Datin Paduka Dr. Adina turut menegaskan bahawa walaupun rundingan masih berlangsung, Malaysia tetap menjalankan aktiviti pemantauan dan perikanan di kawasan berkenaan, yang dianggap sebagai wilayah hak negara.

"Kita tetap ada aktiviti di kawasan tersebut. Pemantauan berjalan seperti biasa. Cuma bagi blok hidrokarbon, belum ada aktiviti pembangunan di kawasan itu," jelasnya.

Perbincangan mengenai kemungkinan pembangunan bersama (joint development) antara Malaysia dan Indonesia merupakan satu opsyen awal yang masih dalam peringkat pertimbangan.

"Cadangan pembangunan bersama ini bukan perkara baharu. Ia pernah dibincangkan pada 2011 dan 2018. Tetapi belum ada keputusan muktamad," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menyerahkan mana-mana kawasan laut atau sumber kepada mana-mana pihak, dan akan terus mempertahankan kedaulatan negara melalui saluran diplomasi dan undang-undang antarabangsa.

"Kita tetap mempertahankan kedaulatan negara melalui rundingan yang aman dan berprinsip. Tiada penyerahan, tiada kompromi terhadap hak maritim Malaysia," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI