(Anwar Ibrahim)
ALOR SETAR, 8 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan baru sahaja menandatangan kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lepas.
“Hari ini mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat kenyataan perdana menteri berbohong kerana perkara ini (hutang) telah selesai sejak tahun 2021.
“Sekarang kamu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata dah selesai, saya baru 'sign' (tandatangan) akhir Jun, Menteri Kewangan 'sign' kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana, selesai di mana?” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.
Anwar berkata, perkara melupuskan hutang berkenaan memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu, namun ia tidak dilaksanakan.
“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional dan 2022 bawah Perikatan Nasional tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. Saya kekal dengan rekod ini.
"Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang FELDA yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya.
(Anwar Ibrahim pada Program Temu Anwar di UUM, Alor Setar, Kedah)
Berita berkaitan:
Lupus hutang FELDA, Shabery nafi kenyataan Muhyiddin