fb fb fb fb fb

PM minta PETRA bentang cadangan simpanan air hujan hadapi kemarau

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 10 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan bagi memanfaatkan air hujan sebagai langkah menghadapi musim kemarau.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan bahawa cadangan tersebut bertujuan memastikan bekalan air negara kekal mencukupi sepanjang tahun.

"Perdana Menteri meminta kami membentangkan cadangan dalam tempoh dua minggu. Meskipun negara kita kerap menerima hujan, kita juga berdepan kemarau dari semasa ke semasa. Jadi, persoalannya — bagaimana kita boleh menyimpan air hujan untuk digunakan pada waktu kemarau dan masa hadapan?" katanya.

Menurut Fadillah, tempoh dua minggu itu memadai kerana kebanyakan perancangan sudah disiapkan dan hanya menanti untuk dilaksanakan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang dirasmikan Perdana Menteri di Putrajaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE