(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Keputusan MIC dan MCA untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15), telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar menerima keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua parti tersebut kerana masih menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
"Kedua-dua Presiden MIC dan juga MCA ada menghubungi saya dan menyatakan mereka tidak akan menyertai, tetapi akan memberi sokongan. Itu tentu dalam ruang kuasa Barisan Nasional. Saya ucapkan terima kasih kerana kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan", katanya.
Beliau menjelaskan kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa ke-10 2023 (ISWC 2023) dan melancarkan aplikasi i-Akaun KWSP di ibu negara.
Sebelum ini, MCA dan MIC dilapor membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU DUN Ke-15.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu dijalankan secara serentak pada 12 Ogos 2023 ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai 2023 dan pengundian awal pada 8 Ogos 2023.