(Polis mengusung mayat Mohammad Aqil Irfan Hizuan yang ditemukan meninggal dunia
di landasan kereta api pagi tadi)
PASIR MAS, 6 Julai - Seorang pemuda maut dipercayai digilis kereta api di Kampung Tanjong, di sini pada Khamis.
Dalam insiden itu, mayat mangsa Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23 ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian pada pukul 4.30 pagi.
Bapanya, Hizuan Jusoh, 52, berkata dia segera ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan adik iparnya, Aiman Abdul Rashid, 20.
"Luluh hati saya apabila melihat keadaan anak yang sudah tidak bernyawa dengan kesan kecederaan yang teruk di kepala, tangan dan kaki," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dia kemudiannya mengalihkan mayat mangsa ke tepi landasan dan merasakan tubuhnya anaknya yang kaku sudah sejuk kerana baju masih lembap akibat embun.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya pada dua hari lalu kerana arwah tinggal bersama datuknya di kampung itu.
Ujarnya, anaknya itu tinggal di rumah neneknya yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian sejak dia berusia 15 tahun.
Tambahnya, kali terakhir Muhamad Aqil berhubung dengan abangnya, Muhammad Zuhairi, 28 pada Rabu.
Abangnya berkata bahawa adiknya itu menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp untuk meminta maaf.
"Jenazah arwah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Jejulok selepas bedah siasat dijalankan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azrual Moahmed mengesahkan menerima laporan berhubung tragedi itu.