BUKIT PALAH, 6 Julai - Pentadbiran sekolah terutamanya sekolah berasrama digesa tidak menyembunyikan sebarang insiden atau kes buli termasuk penderaan dalam kalangan pelajar bagi mencegah kejadian yang tidak dingini berlaku.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah yang menyembunyikanatau membiarkan perbuatan berkenaan berlaku sehingga mengancam nyawa pelajar.
"Saya memberi ingatan kepada semua pihak khasnya sekolah berasrama penuh agar sentiasa memantau pelajar-pelajar terutamanya pelajar-pelajar 'Junior' yang berkemungkinan dibuli pelajar 'Senior'.
"Saya sarankan pihak sekolah terutamanya Warden bagi memastikan agar kes buli tidak berlaku", katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka di sini.
Rahmad turut berkata ibu bapa turut diminta prihatin dengan perubahan tingkah laku anak mereka dan mengambil berat aspek pembelajaran serta hubungan anak dan rakan di sekolah supaya masalah dihadapi mereka dapat ditangani di peringkat awal.
Hari ini media melaporkan, bapa kepada remaja lelaki yang mencekik hingga mati adik kandungnya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu di sini semalam, Najli Yakob, 42, mendakwa anak sulungnya berusia 14 tahun itu, merupakan mangsa buli di sebuah sekolah menengah Arab di Alor Gajah.
Najli berkata kelakuan remaja lelaki itu dikesan berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lepas dan suspek sebelum ini pernah memaklumkan kepadanya tentang kes buli yang menimpanya, malah laporan polis juga telah dibuat namun tiada tindakan lanjut dilakukan.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, dilaporkan maut selepas dicekik abangnya.
Berita berkaitan
Abang cekik adik direman 7 hari
(Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman)