fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan lebih RM1 bilion dilulus untuk projek di sempadan Sabah & Sarawak

(FOTO BERNAMA)

KUCHING, 16 September- Hanya kestabilan politik dan semangat perpaduan boleh membantu dalam membangun negara dan mengangkat semula ekonomi ke arah yang lebih hebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat dokongan semua komponen Kerajaan Perpaduan boleh membawa negara ke landasan yang tepat.

"Majoriti besar bersama GPS di Sarawak dan GRS di Sabah akan menentukan supaya kerajaan ini dapat memanfaatkan seluruh kekuatan membela nasib rakyat Malaysia,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia ke-60 di Kuching, Sarawak.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan untuk projek pembangunan di persempadanan Sabah dan Sarawak.

"Jakarta umum membina ibu kota nusantara di Kalimantan dan kita tidak mahu ketinggalan dan untuk itu saya telah luluskan tambahan peruntukan untuk projek di Sabah dan Sarawak, tambahan lebih RM1 billion untuk pembangunan di sempadan,"katanya.

Beliau juga memberi komitmen untuk memenuhi perkara-perkara yang dibangkitkan dalam tuntutan MA63.

"Tanggungjawab saya sebagai generasi penerus melaksanakan janji yang dimeterai tatkala membentuk Malaysia termasuk MA63 bukan untuk dirunding tetapi untuk dilaksanakan,"jelas perdana menteri.

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri di Sarawak dan Sabah yang 'Segulai Sejalai' bersama Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Malaysia.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan akan meneliti warkah-warkah yang diterima oleh Yang di-Pertuan Agong daripada warga Sabah dan Sarawak semasa Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.

“Pada Khamis lepas, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda masih sangat terkesan bicara dengan penuh perasaan bergelinang air mata kerana terpegun terkesan dengan kasih sayang rakyat tunjukkan kepada baginda berdua.

“Seluruh negara, bukan sahaja Sabah dan Sarawak, dikejutkan dengan sambutan hangat serta tunjuk rasa kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong (sepanjang kembara itu),” katanya.

Rombongan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 September lepas sebelum mengakhiri penjelajahan selama 11 hari di Telok Melano di selatan Sarawak pada 13 September.




(Datuk Seri Anwar Ibrahim / BERNAMA)

Media Baharu