fb fb fb fb fb

Usah persia harapan Yang di-Pertuan Agong, rakyat perlu kekal bersatu- Premier Sarawak

(FOTO BERNAMA)

KUCHING, 16 September- Kerajaan Perpaduan merupakan hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Justeru sempena sambutan Hari Malaysia ke-60 Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru agar rakyat tidak mensia-siakan harapan baginda tetapi terus kekal bersatu padu untuk membina Malaysia yang lebih utuh dan gemilang.

Tan Sri Abang Johari turut menyatakan kepentingan tarikh 16 Sept dan 31 Ogos kepada kewujudan Malaysia.

"Saya kira tidak payahlah kita berdebat panjang lebar mengenai tarikh-tarikh ini tetapi memberi fokus kepada usaha penyatuan wilayah-wilayah dan penyatuan bangsa di samping memastikan pembangunan dilaksanakan sama rata di setiap wilayah,"katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang menyatakan komitmen fokus ke arah pembangunan Sabah dan Sarawak melalui RMK-12, di samping memberi keutamaan menyelesaikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63.

Tan Sri Abang Johari turut menyatakan sokongan berterusan kerajaan negeri Sarawak kepada Kerajaan Perpaduan agar boleh mentadbir negara lebih mampan dan lestari.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Sarawak telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada 2028. 

"Saya gembira untuk mengumumkan Sarawak mencipta sejarah hari ini, Kuching telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada  Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada 2028 selepas membida untuk acara itu di Bordeaux, Perancis.

"Sememangnya ini adalah satu lagi pencapaian penting terutamanya ketika sambutan ulang tahun ke-60 Hari Malaysia dan membanggakan rakyat Malaysia," katanya.  

Beliau berkata, kongres berkenaan dijangka menarik 10,000 peserta dari 80 negara dan ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).  




(Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg / BERNAMA)

Media Baharu