(Dr Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurrahman Al-Qaradawi merupakan putera kepada Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi)
PUTRAJAYA, 11 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu beliau ketika menghadiri Siri Syarahan Kehormat MADANI mengenai Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi di Seri Perdana, di sini malam tadi.
Ini kerana kehadiran anak Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi iaitu Dr Mohammed Yousef Al-Qaradawi dan Abdurrahman Al-Qaradawi yang sudi berkongsi mengenai biografi dan perjuangan ulama terulung itu.
"Saya rasa sangat terharu semasa dapat tahu Muhammad hubungi saya berhajat ingin serahkan karya besar Syeikh Yusuf sebagai tanda ingatan kepada saya.
"Saya dan rakan-rakan di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebenarnya dekat dengan Syeikh Yusuf, ... menjiwai perjuangan yang membawa mesej Islam.
"Beliau membantu kita dengan keadaan kebangkitan Islam (ketika itu) dan kemaraan anak muda, serta memberi ingatan perlu berhikmah dan kesabaran (berdakwah).
"Ini merupakan satu program penting dan pada masa sama menyentuh perasaan saya," katanya ketika berucap pada Siri Syarahan Kehormat MADANI mengenai Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi di Seri Perdana.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
(Anwar Ibrahim menerima Ensiklopedia Himpunan-Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-Imam Yusuf Al Qaradawi/FOTO FB PM)
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima Ensiklopedia Himpunan-Himpunan Yang Lengkap Bagi Al-Imam Yusuf Al Qaradawi daripada Muhammad.
Ensiklopedia itu menghimpunkan karya-karya Allahyarham dalam bidang akidah, feqah, ilmu agama, fatwa-fatwa, tasawuf, tafsir, hadis, sejarah, pemikiran dan khutbah.
Sementara itu, menerusi perkongsian Facebooknya, Anwar menyatakan pintu persahabatan bersama ulama itu terjalin semenjak awal 70-an lagi.
"Hubungan panjang Almarhum semenjak awal tahun 70an ditandai dengan pesanan kepada saya sewaktu mengemudi ABIM ketika era kebangkitan Islam dan terkenal dengan semangat anak muda yang membara dan kuat idealismenya.
"Syeikh Dr Yusuf memperingatkan kepentingan bersikap sederhana dan dengan menjadikan dakwah sebagai jalur hikmah yang penuh kebijaksanaan," katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua putera Almarhum yang sudi melawat ke negara ini.
"Semoga hubungan persaudaraan ini kekal segar seperti sewaktu mula Almarhum bapa mereka melembar pintu persahabatan ini," kongsinya lagi.
Pada 2009, Kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Syeikh Yusuf Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa atas jasa baktinya dalam dunia Islam.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Bagaimanapun, Syeikh Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia pada 26 Sept tahun lalu pada usia 96 tahun.