(Menteri KPT Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)
SEREMBAN, 11 Julai - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan bagi menaik taraf rangkaian WiFi semua universiti awam di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata,sehingga kini masih ada beberapa universiti yang berdepan masalah capaian internet.
"Memang tidak dinafikan ada masalah Internet di beberapa universiti dan asrama penuntut, malah kita sudah kemukakan kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kemudahan Internet dalam setiap IPTA," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Peringkat Negeri Sembilan di sini, semalam.
(Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sembilan)
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno merangkap Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha dan yakin dapat menangani perkara itu secepat mungkin demi kepentingan penuntut.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan KPT berhasrat untuk memperkasakan Kolej Komuniti sebagai tempat bagi anggota masyarakat menimba ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan pencapaian ekonomi.