fb fb fb fb fb

Dr Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke AMM ke-56 di Jakarta

PUTRAJAYA, 11 Julai- Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-56 (AMM ke-56) dan Mesyuarat–mesyuarat Berkaitan, mulai hari ini hingga 14 Julai (Jumaat) di Jakarta, Indonesia.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Datuk Seri Dr Zambry akan menyertai beberapa mesyuarat antaranya, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN +1 (PMC+1) bersama setiap satu daripada 11 negara rakan dialog ASEAN.

Rakan-rakan dialog ASEAN yang terlibat itu adalah Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Kanada, Kesatuan Eropah, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom.

"Perkara yang akan dibincangkan adalah mengenai kemajuan pembangunan komuniti ASEAN, keutamaan dan hasil utama ASEAN di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Indonesia, pelaksanaan kerjasama di bawah dasar Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP) dan isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Datuk Seri Dr Zambry dan Menteri Luar Kanada juga akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat PMC +1 dengan Kanada kerana Malaysia merupakan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada bagi tempoh 2021-2024.


(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)

Selain itu, beliau juga dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga ke-24 (APT FMM ke-24); Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13; dan Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mesyuarat bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Forum Serantau ASEAN ke-30 (ARF ke-30).

"Menteri Luar Negeri juga akan membincangkan persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, yang dijadualkan pada September 2023 di Indonesia.

Datuk Seri Dr Zambry juga dijangka akan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari Amerika Syarikat, China, India, Kanada, Norway, Bangladesh, Singapura dan Timot Leste.

Penyertaan Malaysia ke AMM ke-56 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di Asia Tenggara terutamanya apabila rantau ini menghadapi ketidaktentuan pada aspek keselamatan dan sosio-ekonomi.

"AMM ke-56 merupakan platform yang baik kepada Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama termasuklah usaha-usaha pemulihan ekonomi, rantaian bekalan global, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peralihan tenaga.

Pada akhir AMM ke-56 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM ke-56 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.

Media Baharu