fb fb fb fb fb

Tangani perbezaan politik dengan akhlak yang baik - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 11 Julai - 'Jika kita berbeza pandangan politik sekalipun, sebaiknya perbezaan itu ditangani dengan akhlak yang baik,' kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkaitan ‘gelombang hijau’.

Zahid berkata, dakwaan yang menyatakan Guan Eng sengaja membangkitkan isu agama, raja dan kaum (3R) biar dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan.

"Seperti yang saya katakan semalam dalam kenyataan media saya di Dataran Merdeka meskipun kita kini berada pada suasana hangat pilihan raya, jika kita berbeza pandangan politik sekalipun, sebaiknya perbezaan itu ditangani dengan akhlak yang baik.

''Janganlah kita lakukan 'character assassination' (pembunuhan karakter) kerana ia bakal mencetuskan situasi yang tidak harmoni di antara kita rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.


Bagaimanapun, Guan Eng menerusi perkongsian di Facebooknya pada 8 Julai lalu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak seharusnya mengelakkan memfitnah antara satu sama lain dalam berpolitik.

Terdahulu, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R berikutan menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan itu.

Guan Eng didakwa mengeluarkan kenyataan itu semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

BERITA BERKAITAN:
Lim Guan Eng disiasat sentuh isu 3R
PRU DUN, jangan sentuh isu 3R- KPN
Polis Kedah terima 23 laporan terhadap Lim Guan Eng
Elak jadikan sensitiviti 3R, modal politik menjelang pilihan raya
Tindakan tegas kepada individu sebar sentimen 3R

Media Baharu