fb fb fb fb fb

PM lawat Kampung Iboi lokasi tragedi aliran puing

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba
di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pagi tadi)

BALING, 1 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Kampung Iboi, Kupang di sini selepas kejadian bencana aliran puing yang meragut nyawa dan terjejas teruk pada awal Julai lalu.

Sebaik tiba, Ismail Sabri melawat jambatan sementara jenis Bailey yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat dilanda arus deras tersebut.

Kemudian, Perdana Menteri turun padang melawat tapak pembinaan rumah penduduk Kampung Sadek yang musnah akibat banjir.

Ismail kemudiannya dijadual akan menghadiri Majlis Sambutan 65 tahun Kemerdekaan dan Majlis Doa Selamat Bencana Banjir di Teluk Durian.

Pada majlis itu, Ismail akan menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir serta beberapa kawasan lain di sekitar Mukim Kupang.

Orang kampung di sekitar kawasan itu akan menerima bantuan RM1,000 yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

(Ismail Sabri dalam Lawatan Pasca Banjir Daerah Baling dan
Majlis Doa Selamat Sempena Hari Kebangsaan 2022 hari ini)

Pada sebelah petang pula, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera akan merasmikan Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, Daerah Yan.

Manakala pagi esok, Ismail dijadual menghadiri Program Kenduri Rakyat Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kedah di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang di Padang Terap.

Kemuncak lawatan pula, Perdana Menteri akan merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada sebelah petang.

Media Baharu