fb fb fb fb fb

PM Laos tiba di Malaysia, sempena ASEAN ke-46

Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone diiringi isteri beliau, Vandara Siphandone tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

SEPANG, 25 Mei- Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone diiringi isteri beliau, Vandara Siphandone berserta delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.05 pagi tadi dengan menaiki pesawat khas.

Ketibaan Sonexay disambut oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sebelum diberi penghormatan menerusi Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang diketuai oleh Kapten Lingesri Rao Jeyarajan, melibatkan dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Sonexay dijangka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat Dua Hala di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh baharu, pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal.

Selain mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global.

Penekanan juga akan tertumpu kepada peranan ASEAN sebagai platform kukuh dan responsif dalam menangani cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin berkembang.

Lawatan itu diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI