fb fb fb fb fb

PM: Kepelbagaian budaya tiang perpaduan, identiti Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepelbagaian budaya dan etnik menjadi kekuatan utama dimiliki Malaysia.

Jelas beliau, kekuatan itu bukan sahaja dipamerkan dengan hanya saling berkenalan, malah kesediaan untuk saling menerima kepelbagaian tersebut.

"Bila kita jayakan negara MADANI, teras kita adalah pemerkasaan ekonomi, kemampanannya tetapi yang nak kita bangunkan itu manusia. Pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya.

"Kita kembangkan nilai insan dan manusiawi dan kita juga tunjukkan kesediaan kita untuk bukan sekadar kenal tetapi menghormati, hebat menghebatkan antara kita dan tunjukkan kita terkesan dengan kehebatan masing-masing," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian dan  Malam Gala Festival Budaya Malaysia 2025 di sini hari ini.

Jelas beliau, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan turut menjadi asas perpaduan rakyat di negara ini.

“Bahasa Melayu memperikat dan memperkukuh semua rakyat negara ini. Namun, kita juga menegakkan prinsip menghormati hak semua kaum untuk menguasai bahasa mereka.

“Dengan perkembangan dunia hari ini, kita sedar akan kepentingan menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan bahawa budaya Melayu adalah budaya kebangsaan.

Pada masa sama, katanya, kepentingan budaya suku kaum lain tetap diraikan kerana ia sebahagian daripada identiti bersama sebagai anak Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN