SERDANG, 13 September – Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatat lebih sejuta penyertaan bagi Program Bicara Kenegaraan dalam tempoh sebulan.
Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussin berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha memperkukuh semangat patriotik rakyat, sekali gus menggambarkan sokongan terhadap aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemajuan, keharmonian dan perpaduan berbilang kaum.
Beliau berkata pendekatan berasaskan seni dan aktiviti kreatif menjadi medium terbaik mendekatkan institusi itu dengan komuniti.
“Kita akan masuk ke media sosial rasmi AKM dan berusaha menembusi saluran media utama supaya kreativiti rakyat dapat dipertontonkan lebih meluas kepada seluruh masyarakat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Citra Apresiasi: Aku Kasih Malaysia, di sini, hari ini.
Pengiktirafan itu disampaikan pada majlis tersebut yang diadakan bersempena Bulan Kebangsaan, turut menghimpunkan pelbagai aktiviti kesenian, budaya serta apresiasi terhadap jati diri kenegaraan.
Beliau turut menyatakan harapan agar penganjuran berterusan mampu melibatkan semua kaum serta lapisan masyarakat.
“Inilah semangat kemerdekaan yang kita bina, dan tahun ini menunjukkan penglibatan semua kelompok masyarakat,” tambahnya.
Majlis itu turut menyaksikan pertandingan akhir Pantomim Kenegaraan Peringkat Kebangsaan serta penyampaian hadiah Ekspresi Merdeka: Video Kreatif yang menampilkan bakat baharu menghasilkan karya digital di platform rasmi AKM.