fb fb fb fb fb

PM Ismail Sabri diberi sambutan rasmi di Peace Palace

PHNOM PENH, 24 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini diberikan sambutan rasmi di Peace Palace, sempena dengan lawatan rasmi dua hari ke Kemboja.

Ketibaan beliau di Peace Palace yang juga merupakan pejabat Rasmi Perdana Menteri Kemboja disambut rakan sejawatannya, Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen.

Memulakan istiadat, lagu kebangsaan Malaysia "Negaraku" serta lagu kebangsaan Kemboja "Nokor Reach" dimainkan sebelum Ismail Sabri diiringi Hun Sen memeriksa barisan kawalan kehormat.

Terdahulu Ismail Sabri melawat tugu peringatan kemerdekaan Kemboja dan meletakkan kalungan bunga.

Diikuti satu lagi upacara meletak kalungan bunga di Monumen Preah Borom Ratanak Kaudh yang didirikan bagi memperingati mendiang Raja Norodom Sihanouk di lokasi sama.

Dalam pertemuan empat mata ini, kedua-dua pemimpin akan membincangkan hubungan dua hala, isu serantau selain daripada kerjasama di peringkat antarabangsa.

Ismail Sabri juga dijadualkan menghadiri majlis mengadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni, bertempat di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.

Kemboja merupakan tuan rumah bagi ASEAN 2022 dan merupakan negara keempat dilawati Perdana Menteri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.

Terdahulu Ismail Sabri melawat Indonesia, Singapura dan Brunei.

Media Baharu