AYER KEROH, 24 Februari - Lebih RM400 juta diperuntukkan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pelaksanaan lebih 12 projek naik taraf dan penambahbaikan loji, tangki serta paip air lama di seluruh Melaka.
Pengerusi PAAB, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap dengan penambahbaikan yang bakal dilaksana melalui projek selama 3 tahun bermula 2021 hingga 2024 itu akan dapat memastikan rakyat Melaka mendapat perkhidmatan air terbaik.
Antara projek tambah baik yang bakal dilaksana melibatkan Loji Rawatan Air Jernih, Loji Rawatan Air Merlimau dan Loji Rawatan Air Jus.
"Secara umumnya sangat positif perbincangan dan kami di peringkat PAAB menegaskan tentang kita datang untuk membantu kerajaan negeri, memastikan bahawa satu hari nanti rakyat Melaka mendapat khidmat air yg terbaik. Itu hasrat kami daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi membincangkan mengenai projek yang bakal dilaksana itu di Seri Negeri, di sini.
Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan projek kali ini merupakan kerjasama penggal kelima dilaksana bersama Melaka sejak 2008.