fb fb fb fb fb

Kertas penamaan calon PRU Dewan Negeri Johor boleh dikemuka bermula 26 Februari ini - SPR

FOTO SPR

JOHOR BAHRU, 24 Februari - Kertas penamaan calon bagi Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum, PRU Dewan Negeri Johor ke-15, boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) bermula 9 hingga 10 pagi, 26 Februari ini.

Kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Menerusi kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Ikmalrudin Ishak, bakal-bakal calon yang mahu bertanding disaran mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon.

"Bakal-bakal calon juga disaran membayar deposit lebih awal dan resit dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran. Ini bagi memastikan semua proses penamaan calon diselesaikan lebih awal dan lancar," kata beliau dalam kenyataan itu.

Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, surat kebenaran menggunakan simbol parti diwakili perlu dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

"Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC manakala penyokong-penyokong tidak dibenarkan berkumpul dan berarak di mana-mana lokasi atau PPC sepanjang Hari Penamaan," tambahnya.

Sementara itu, SPR memaklumkan SOP Pencegahan COVID-19 bagi PRU Dewan Negeri Johor telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 Februari lalu, selaras Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

(Kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung Hari Penamaan Calon/FB SPR)

Pada PRU Dewan Negeri Johor kali ini, SPR telah membuat beberapa perubahan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kebenaran penganjuran ceramah, syarahan atau kempen dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Kebenaran berdasarkan ketetapan termasuk hanya individu lengkap vaksinasi dan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10.00 malam manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan. Beberapa SOP lain turut ditetapkan.

SPR menetapkan 26 Februari ini sebagai hari penamaan calon, 8 Mac undi awal dan 12 Mac sebagai tarikh pilihan raya PRU Dun Johor ke-15.

Media Baharu