PUTRAJAYA, 24 JULAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil maklum mengenai penganjuran Himpunan 'Turun Anwar', yang berlangsung Sabtu ini di ibu negara dan menegaskan bahawa kerajaan menghormati hak untuk berhimpun dan bersuara secara aman.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, Datuk Seri Anwar menyifatkan himpunan anjuran PAS itu sebagai salah satu bentuk ungkapan demokrasi, dan menyeru agar ia diadakan secara tertib, aman, dan terkawal.
"Kita merayakan demokrasi dan hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan MADANI.
"Ini adalah elemen penting dalam sebuah negara yang bebas dan adil di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri," katanya menerusi taklimat media yang disiarkan di Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri juga telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama penuh kepada penganjur dan peserta, bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.
Tunku Nashrul menambah, ruang untuk bersuara bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati, selagi tidak melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan awam.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar turut mengajak rakyat agar menjunjung proses demokrasi secara matang dan bertanggungjawab, sejajar dengan prinsip kerajaan MADANI yang sentiasa terbuka kepada perbezaan pandangan.