KUANTAN, 24 Julai - Sebanyak 42 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dikeluarkan kepada peruncit oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang sepanjang tempoh pelaksanaan Op Kesan 4.0 dari 1 Julai hingga semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang, Mohd Hafiz Ramli berkata, notis itu dikeluarkan megikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 melibatkan 210 produk.
Menurutnya, setakat semalam sebanyak 42 premis telah diperiksa di seluruh Pahang.
Keseluruhan 42 premis di seluruh Pahang sudah diperiksa setakat ini - Foto KPDN Pahang
"Mengikut pecahan, notis yang dikeluarkan membabitkan 12 notis di daerah Kuantan, Temerloh (6), Jerantut (7), Rompin (6), Bera (7) dan Raub empat notis dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut terdapat satu Notis Bertulis telah dikeluarkan melibatkan tiga barangan dalam tin yang dikenal pasti mempunyai elemen kenaikan harga yang tidak munasabah.
Pemeriksaan turut memberi tumpuan khusus kepada barangan keperluan asas - Foto KPDN Pahang
Beliau berkata, lima aduan pula diterima berkaitan kenaikan harga dan perkara tersebut masih dalam siasatan KPDN Pahang.
Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan turut memberi tumpuan khusus kepada barangan keperluan asas yang dikecualikan cukai jualan termasuk tepung gandum, sardin dalam tin, krimer pekat manis dan roti putih.