KUALA LUMPUR, 24 Julai - Akses keadilan perburuhan terus diperluas dalam kalangan golongan berpendapatan rendah menerusi khidmat guaman percuma.
Inisiatif berkenaan direalisasikan Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) hasil kolaborasi strategik bersama Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society dan Advocates Association of Sarawak.
Jelas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, langkah itu sebahagian daripada usaha reformasi bagi memastikan keadilan dapat dinikmati semua pihak.
"Sebagai seorang ahli Parlimen, saya sering menerima permintaan daripada para pekerja dan kadangkala juga daripada pekerja bawahan yang meminta agar kes atau laporan mereka dirujuk. Namun begitu, mereka tidak mampu untuk mendapatkan khidmat guaman.
"Justeru, inilah buat pertama kalinya satu bentuk kerjasama diwujudkan dan saya yakin inisiatif ini akan memperluaskan akses kepada keadilan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah," katanya dalam ucapan merasmikan Industrial Relations Lecture Series 2025 dan Pelancaran buku Award Terpilih Mahkamah Perusahaan Malaysia.
Tambahnya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Sistem Perekodan Digital MPM yang bertujuan mempertingkat kecekapan pengurusan kes, mengurangkan kos operasi dan menyelaraskan komunikasi antara semua pihak berkepentingan.