PUTRAJAYA, 24 Julai - Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) menjadi langkah strategik kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan dan miskin tegar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan inisiatif ini sebagai satu perkembangan positif, namun menekankan keperluan tindakan susulan agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan oleh golongan sasar.
"Ini usaha yang baik dikordinasikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
"Selain program kerajaan sedia ada, tumpuan juga perlu diberikan kepada kemiskinan bandar," katanya.
"Kita jangan hanya beri ikan, tetapi beri kail supaya mereka boleh berdikari," tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Sejahtera MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini.
Menurutnya, Tabung Sejahtera MADANI telah berjaya mengumpul hampir RM120 juta, merangkumi bantuan dalam bentuk kewangan, barangan, perkhidmatan, dan latihan.
Sejahtera MADANI merupakan inisiatif nasional menyasarkan isi rumah miskin dan miskin tegar berdaftar dalam Sistem eKasih, dengan matlamat meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.