fb fb fb fb fb

PM harap Sambutan Deepavali jadi sinar perpaduan, singkir kezaliman

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni peniaga di Little India, Brickfields pada Khamis lalu/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan Selamat Deepavali kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu yang akan meraikan perayaan tersebut esok.

Dalam perutusannya, beliau menzahirkan harapan agar sambutan Deepavali membawa makna yang mendalam kepada seluruh masyarakat, sebagai simbol pencerahan yang menyingkirkan kegelapan dan kezaliman.

“Happy Deepavali dan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua sahabat handai saya, masyarakat India dan seluruh rakyat Malaysia.

"Marilah kita bersama menuju kemajuan, pencerahan dan keadilan dengan meninggalkan kegelapan dan kezaliman,” katanya.

Beliau turut berharap agar sambutan Deepavali tahun ini menjadi medan untuk memperkukuh semangat perpaduan dan kebahagiaan dalam kalangan keluarga serta masyarakat di Malaysia.

“Mudah-mudahan Deepavali memberikan pencerahan dan kebahagiaan kepada seluruh keluarga dan masyarakat Malaysia,” katanya lagi.

Perayaan Deepavali, yang turut dikenali sebagai 'Pesta Cahaya', akan disambut penganut agama Hindu di seluruh negara esok.

GRACE AISYAH KEDAYAN