fb fb fb fb fb

'Feedright' juara Ocean Hackathon KL, mara ke Grand Finale di Perancis

Ocean Hackathon mencari penyelesaian kepada cabaran marin sebenar /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Pasukan Feedright gabungan dari Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) dan Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara Ocean Hackathon Kuala Lumpur 2025.

Mereka akan mewakili Malaysia ke Grand Finale Antarabangsa di Brest, Perancis pada 2 Disember nanti.

Ini merupakan penganjuran sulung Ocean Hackathon edisi Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang untuk mengetengahkan inovasi marin tempatan ke peringkat global.

Ocean Hackathon, program bersemuka selama 48 jam, menghimpunkan pelbagai pihak seperti inovator, saintis, pembangun dan peminat oseanografi untuk mencari penyelesaian kepada cabaran marin sebenar.

Edisi Kuala Lumpur dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan USM, serta disokong oleh Kedutaan Perancis di Malaysia.

Ketua Pegawai Inovasi dan Kelestarian APU, Profesor Ir. EUR. ING Dr. Vinesh Thiruchelvam berkata penganjuran ini sejajar dengan komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar.

“Kami mengamalkan kelestarian melalui pelbagai usaha dan acara hari ini adalah salah satu daripadanya. Terima kasih kepada Kedutaan Perancis kerana membolehkan kami menyertai Ocean Hackathon,” katanya.

Menurutnya 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah diterapkan dalam lebih 780 modul akademik, melibatkan lebih 300 pensyarah serta hampir 1,000 projek pelajar sepanjang tahun ini.

APU turut menubuhkan Pasukan Tugas ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta melaksanakan inisiatif penanaman lebih 1,000 pokok bagi mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh amalan kelestarian kampus.

Sementara itu, wakil Kedutaan Perancis, Yohann Breard, menyifatkan penganjuran di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada inisiatif Ocean Hackathon yang kini semakin berkembang di Eropah, Amerika, Afrika dan Asia.

“Ia adalah contoh terbaik kerjasama Perancis-Malaysia yang menyatukan kreativiti demi menyelamatkan bumi. Malaysia pernah menang peringkat antarabangsa pada 2022 dan terus konsisten tahun berikutnya kerana jalinan erat antara pendidikan, penyelidikan dan sektor swasta,” jelasnyanya.

Ocean Hackathon 2025 berlangsung serentak di 11 bandar di sembilan negara, merangkumi lebih 64 cabaran dari 17 hingga 19 Oktober.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN