MERLIMAU, 19 Oktober - Pandangan Malaysia akan dibawa dalam Persidangan Pembangunan Semula Gaza, pada November depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi telah menyatakan persetujuan untuk mengetengahkan perkara-perkara dibangkitkan Malaysia, yang tidak termasuk dalam Pelan Damai Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam perbualan telefon dengan al-Sisi, beliau turut menekankan agar negara-negara Islam untuk bergerak sebagai satu pasukan.
Menurutnya, walaupun tidak bersetuju dengan semua penyelesaian 20 Perkara, namun pandangan pihak lain seperti Hamas yang berunding dengan Israel perlu diambil kira.
"Yang kita hendak lebih daripada Hamas ni sebab apa? Kita ini kadang-kadang sikap kita nak mengajar lagi. Hamas itu bertempur, ribuan sudah mati. Dan kita di sini, jangan berunding, jangan bercakap dengan Amerika. Yang di sana berunding itu Hamas dan Israel, Mesir dan Qatar, dan Amerika Syarikat, " tegas beliau.
"Saya tanya Presiden Erdoğan, semalam Presiden Abdel Fattah el-Sisi, dia kata, "Yes, Prime Minister, we’ll take up.’ (Ya, kami akan bangkitkan). Jadi dia kata, akan adakan persidangan bulan November dan dia nak ambil perkara yang kita bangkitkan juga yang tak termasuk dalam 20 perkara," tambahnya lagi.
Perdana Menteri demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 edisi Melaka di Politeknik Merlimau, Jasin.
Persidangan Pembangunan Semula Gaza menyaksikan Mesir sebagai tuan rumah dengan Presiden El- Sisi dan Presiden Trump sebagai pengerusi bersama.