JOHOR BAHRU, 19 Oktober - Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan bakal disenaraikan dalam takwim Kementerian Pendidikan Malaysi (KPM) sebagai acara tahunan, bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pertandingan itu dijadual berlangsung pada bulan September bagi peringkat kebangsaan.
Tambah beliau, ia juga bakal dianjurkan di peringkat zon dan daerah.
Langkah itu bertujuan memperkukuh dan mengembangkan warisan budaya ke arah yang lebih sistematik dan holistik, memandangkan seni tersebut telah diperluaskan ke peringkat antarabangsa.
"Adalah penting dan kita nampak juga ada daripada pasukan-pasukan daripada sekolah-sekolah yang ada ada anak-anak India terlibat selain anak-anak bumiputera.
"Melayu terlibat, anak-anak orang asli pun terlibat, jadi usaha sekarang adalah untuk memastikan sekolah-sekolah yang mempunyai potensi diketengahkan", katanya semasa Pelancaran Cadangan Warisan Dunia Gendang 24 Musim dan Seminar Latihan Perguruan di Southern University College di sini hari ini.
Dalam majlis itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada 10 buah sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis tamil di beberapa negeri seperti Johor dan Pulau Pinang.
Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 341 buah sekolah seluruh negara telah memiliki pasukan Gendang 24 perayaan dengan lebih 65,000 pelajar menyertainya sejak awal penubuhan pada tahun 1988.