BAGAN DATUK, 19 Oktober - Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 29 November depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, rundingan antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula kini di peringkat akhir.
Beliau menjelaskan, kerjasama antara gabungan utama itu penting untuk memastikan setiap parti menumpukan kekuatan di kawasan masing-masing bagi mengelakkan pertembungan tidak wajar.
"Pertembungan dengan calon-calon BN dan GRS tidak dapat dielakkan, tetapi kita pastikan tidak ada pertembungan antara BN dan PH. Itu persetujuan kita dan kita telah muktamadkan," katanya.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pemilihan calon BN akan dibuat berdasarkan potensi kemenangan dengan mengambil kira komposisi etnik serta demografi kawasan, selain memberi peluang kepada muka baharu.
Kita-kira 80% calon BN di Sabah terdiri daripada wajah baharu termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri tempatan yang membawa pembaharuan serta harapan baharu kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan pendidikan lebih RM70,000 kepada 703 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK-T), serta RM36,000 kepada 12 tadika di kawasan berkenaan.
Sebanyak 2,000 penerima turut menerima sumbangan barangan keperluan sempena perayaan Deepavali.