(Anwar Ibrahim)
IPOH, 16 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar menzahirkan rasa cinta akan negara yang ditunjukkan melalui kibaran Jalur Gemilang, sama ada oleh individu atau organisasi akan lebih meriah tahun ini.
Sebagai warganegara, Anwar berkata, rakyat seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka.
Nikmat kemerdekaan perlu disyukuri rakyat agar dapat hidup dengan selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan antara kaum.
Tambah Anwar, perpaduan perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan kerana ia merupakan suatu nikmat yang amat berharga serta aset penting kepada negara.
"Apabila kita mengibarkan Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita semua, tanpa mengira latar belakang, bak kata pepatah, 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati.
"Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata, tetapi semangat jati diri dan
permuafakatan rakyat.
"Tunjukkan kebanggaan kita kepada negara dengan mengibarkan lambang kebesaran negara ini (Jalur Gemilang)," katanya.
Teks ucapan itu dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri bagi merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2023 di sini.
(Foto fail)