KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Tiada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, susulan Majlis Raja-Raja menitahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke Istana Negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu perkara itu sebaik persidangan bermula pada 10 pagi.
“Sepatutnya kita ada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, dengan dua soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah-BN dan Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin-PN.
“Namun saya difahamkan Perdana Menteri tidak dapat hadir pada pagi ini kerana dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara pada pukul 10 pagi,” katanya.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan sesi MQT ditiadakan dan diteruskan dengan sesi soal jawab lisan.
Usul untuk menangguhkan sesi MQT dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2), disokong Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tan Sri Johari memaklumkan dua soalan yang dikemukakan pada sesi MQT hari ini, dijadualkan semula pada sesi lain tanpa perlu dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Mohd Shahar bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang pernah dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berhubung konflik Palestin-Israel.
Sementara, Datuk Mas Ermieyati pula mengajukan soalan berhubung tahap persediaan kerajaan dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) khususnya dari segi promosi antarabangsa serta penglibatan kerajaan negeri.
MQT yang diadakan setiap Selasa memperuntukkan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai isu semasa, manakala sesi sama pada Khamis pula dijawab oleh menteri Kabinet.