KUANTAN, 7 Oktober- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang merekodkan sebanyak 2,716 pembaharuan lesen memandu di seluruh negeri bagi tempoh 27 September hingga 2 Oktober lalu.
Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menunjukkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan memperbaharui lesen memandu serta memanfaatkan program subsidi bersasar itu.
Beliau memaklumkan daripada jumlah tersebut, Pusat Transformasi Bandar (UTC) mencatatkan pembaharuan tertinggi iaitu 581, diikuti Temerloh (502) dan Kuantan (435). Cawangan lain merekodkan: Jengka (301), Bentong (300), Cameron Highlands (228), Raub (224) dan Muadzam Shah (145).
"UTC mencatatkan pembaharuan paling tinggi pada tempoh itu, menunjukkan rakyat bukan sahaja menikmati program BUDI95, malah turut memperbaharui lesen kenderaan mereka," katanya.
Beliau menambah JPJ Pahang terus komited membantu rakyat memanfaatkan program itu dengan membuka kaunter khas pada hujung minggu bagi memudahkan urusan pembaharuan lesen memandu dan penyelesaian kompaun.
Pelaksanaan pengemaskinian data lesen juga merangkumi pemegang lesen yang aktif tetapi belum mengemas kini nombor kad pengenalan lama, nombor polis, nombor tentera, resit Pengenalan Sementara (RPS) dan Sijil Kelahiran Malaysia (SKM).
Syed Ahmad Khirulanwar berkata demikian selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Bilangan 2/2025 di Dewan Sri Makmur, Kompleks JPJ Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam lelongan itu, JPJ Pahang memperolehi RM95,750 hasil bidaan 41 kenderaan sita. Bidaan tertinggi melibatkan kenderaan Penggerak Utama buatan Volvo tahun 2006 bernilai RM40,000, manakala bidaan terendah melibatkan tiga motosikal masing-masing bernilai RM50.
Bagi lelongan awam siri kedua 2025 ini, sebanyak 42 kenderaan dilelong, termasuk 29 motosikal, enam kereta, dua van, dan masing-masing sebuah untuk penggerak utama, jip, lori Rigid, pickup serta semi trailer kargo am.
Daripada jumlah itu, enam kenderaan tidak boleh dilesenkan, 35 boleh dilesenkan, manakala sebuah kenderaan tidak berjaya dibida.