fb fb fb fb fb

PM dijangka umum insentif, pengecualian cukai JS-SEZ dalam Belanjawan 2025

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

JOHOR BAHRU, 4 Jun - Insentif berhubung pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025, Oktober depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibincangkan jemaah menteri dalam waktu terdekat.

"Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi banyak permintaan. Salah satu inisiatif yang disuarakan Menteri Besar termasuklan 'tax holiday' (pengurangan atau penghapusan sementara cukai), saya fikir ia mungkin boleh dipertimbangkan.

"Saya akan merujuk perkara ini kepada Perdana Menteri, esok dan akan terus memanjangkan perkara ini. Harapnya Perdana Menteri dapat mempertimbangkan inisiatif ini kepada pemain industri halal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program 'Halal on Track@Johor Darul Ta’zim' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika merasmikan program itu menyarankan pengusaha produk halal tempatan mengambil peluang terhadap pasaran domestik China melibatkan seramai 1.4 bilion penduduk.

Beliau turut menyarankan agar produk halal Malaysia dapat dipasarkan ke negara itu.

Ini kerana produk halal negara bukan sahaja bersesuaian untuk masyarakat Muslim namun kandungan, proses dan kebersihannya melalui ujian saintifik turut diterima penganut bukan Islam di negara itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN