PUTRAJAYA, 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan bersama pemimpin Thailand dan Kemboja, esok petang di Putrajaya.
Beliau berkata pertemuan rundingan itu diadakan susulan ketegangan yang berlaku di sempadan antara kedua-dua negara.
Rundingan antara kedua-dua wakil negara itu dijangka berlangsung di Kompleks Seri Perdana pada pukul 3 petang.
“Mereka (wakil kerajaan Thailand dan Kemboja) telah meminta saya untuk berunding mengenai satu penyelesaian damai, jadi kami akan menjadi tuan rumah mesyuarat itu di sini esok.
“Jadi, saya sedang membincangkan parameter, syarat-syaratnya, tetapi apa yang penting ialah gencatan senjata serta-merta,” kata beliau pada Majlis Ilmu MADANI, di sini malam ini.
Datuk Seri Anwar berkata, beliau akan mempengerusikan pertemuan rundingan tersebut selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
"Saya diberi kepercayaan untuk mempengerusikan pertemuan tersebut selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan pada masa ini saya sedang memperincikan beberapa peraturan serta garis panduan yang perlu dipatuhi.
"Apa yang penting adalah menghentikan tembakan dengan serta-merta. Pasukan dari negara jiran juga akan dipanggil bagi memantau perlaksanaan gencatan senjata ini dan saya berharap usaha ini akan berhasil," katanya.
Tambahnya, Menteri Luar dan Kementerian Luar Negeri kini sedang giat memastikan segala aspek jelas dan teratur.
"Walaupun konflik ini tidak seteruk di negara-negara lain, kita tidak boleh membiarkan ia berterusan. ASEAN selama ini dikenali sebagai rantau yang paling aman dan sedang berkembang pesat dari segi ekonomi. Kita perlu pertahankan itu," tegas beliau.
Anwar turut menyuarakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh negara-negara ASEAN untuk Malaysia yang memainkan peranan sebagai pengantara damai.
"Saya bersyukur dengan keyakinan dan penghormatan yang diberikan. Mereka adalah sahabat rapat kita. Maka kita harus berusaha sebaik mungkin supaya pertemuan ini membuahkan hasil," katanya.