fb fb fb fb fb

FBP 2025 promosi Balik Pulau sebagai produk pelancongan budaya

Foto FB Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

BALIK PULAU, 27 Julai - Penganjuran Festival Balik Pulau (FBP) 2025 menjadi platform mempromosikan Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan luar bandar Pulau Pinang selari dengan destinasi utama pelancongan negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, lokaliti Balik Pulau tidak hanya terkenal dengan jolokan ‘lubuk durian’ negeri malah mempunyai kebudayaan serta keunikannya tersendiri.

"Salah satunya kita mengangkat produk seni dan budaya yang khususnya di Balik Pulau, secara keseluruhanya kita cuba angkat kesenian boria di Pulau Pinang ke peringkat yang lebih tinggi lagi di samping produk-produk yang lain.

"Maknanya produk yang berkaitan seni dan persembahan di bawah budaya, kita akan mengangkat retak rezeki produk-produk makanan. Kalau di Balik Pulau ini, yang terkenal durian la," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penutup Festival Balik Pulau 2025 di Kompleks Sukan, di sini.

Majlis penutupan disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai. Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

FBP bertemakan “Kembali Riuh di Lik Lau” berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas, mengetengahkan pelbagai aktivit antaranya pertandingan boria, persembahan kesenian dan pertandingan badang durian.

Mohd Radzi turut memaklumkan sebanyak RM1.38 juta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) diberikan kepada 25 persatuan dan syarikat kebudayaan di Pulau Pinang pada 2024, manakala RM490,000 diluluskan tahun ini.

JKKN turut giat melaksanakan festival seni dan budaya di seluruh negara termasuk di Perlis, Perak, Kelantan dan akan ke Kedah serta Terengganu sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI